Ternyata Orang Malaysia Malas Berpikir

Buang sindrom lesu, malas fikir - TPM

KUALA LUMPUR 22 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru anggota masyarakat membuang sindrom kelesuan, kemalasan dan kelemahan berfikir dengan memperluaskan penghayatan budaya berfikir.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sekiranya rakyat lesu daya fikir dan lemah kekuatan minda serta terus khayal dengan aktiviti-aktiviti yang melekakan, akhirnya masyarakat akan ketandusan jiwa.

"Kita perlu menjana masyarakat yang berbudaya fikir tinggi dengan kecenderungan untuk membuat kajian, melakukan penganalisaan, menerbitkan karya ilmiah berkualiti, menggemari wacana ilmiah dan menghargai golongan ilmuwan.

"Masyarakat yang maju akan menjadikan budaya fikir sebagai sebahagian daripada budaya hidup mereka.

''Inilah faktor penentu yang bakal menjamin pembangunan tamadun baru dan kewujudan bangsa cemerlang pada masa depan," katanya.

Muhyiddin berucap pada Malam Sumbangsih Yayasan Nurul Yaqeen Apresiasi Ke-18 Tahun di Hotel Hilton di sini malam ini.

Hadir sama isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin dan Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Yayasan Nurul Yaqeen berkata, generasi masa kini dan masa depan mestilah dibina dengan penjiwaan dan penghayatan agama agar tidak tenggelam dalam arus kebendaan.

Menurut beliau, tanpa dorongan dan landasan keagamaan, ia akan menjadi seperti masyarakat sekular barat yang melihat sesuatu melalui sudut yang begitu relatif, pragmatik dan rasionalistik semata-mata.

Katanya, ini akan mengakibatkan kepincangan pembangunan dan mencetuskan keruntuhan generasi seperti yang sedang berlaku di negara mereka.

"Kekhuatiran terhadap kualiti generasi muda dalam menangani cabaran masa depan bukanlah sesuatu yang tidak berasas langsung, kita boleh dapati penglibatan generasi muda dalam masalah sosial yang kritikal.

"Oleh sebab itu, kita perlu membina generasi muda yang berpegang kepada nilai-nilai kudus, kental jati diri, berkeperibadian mulia, berketerampilan, tinggi daya tahan serta daya juang," jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Nurul Yaqeen yang bermaksud cahaya keyakinan ini memiliki aspirasi yang besar untuk bersama-sama menyumbang ke arah meningkatkan taraf pencapaian dan kecemerlangan masyarakat Malaysia baik dari segi ekonomi, pendidikan, kepimpinan, kerohanian, sosiobudaya mahupun sosiopolitik.

Kata beliau, ini terbukti menerusi komitmen yayasan itu menganjurkan ratusan program dengan perbelanjaan melebihi RM30 juta dengan golongan sasaran melebihi ratusan ribu orang sejak ia mula bergerak aktif sepenuhnya pada tahun 1996.

"Yayasan Nurul Yaqeen merupakan sebuah institusi berteraskan kebajikan yang saya yakin mampu menjadi wadah kepada saya mahupun mana-mana pihak yang sudi bekerjasama bagi melakukan amal kebajikan untuk membantu golongan masyarakat yang memerlukan,"

0 komentar:

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More